Read more: perantaudiary Blogspot | life is journey diari perantau: kisah katak

Wednesday, January 19, 2011

kisah katak










Saya kira sudah lama tidak menulis dan berkongsi cerita. 


Sejak dua menjak ini, baru saja berjinak-jinak dalam dunia photoshop, banner dan sebagainya. 


Saya kira masih banyak yang perlu dipelajari. Moga-moga bermanfaat dan dinilai oleh Allah sebagai usaha dakwah, paling penting sebagai uslub mendekatkan diri kepadaNya dan bagi mencari redhaNya.

Menurut saya, menulis ada kepuasan tersendiri, melukis dan melakar seni kreatif juga memberi kepuasan dan nilai yang berbeza. Namun jika digabungkan seni kreatif dan penulisan dakwah, saya kira hasilnya akan menjadi luar biasa! 

Mengenang assignment dan thesis, saya termenung jauh merenung impian..

Terbaca sebuah karya daripada kartunis tempatan, berkisah mengenai nasib dua ekor katak, namun sarat dengan mesej tersirat. 

Hajat di hati ingin juga bercerita dalam bentuk visual dan ditambah rencah instrumen yang menikam hati. Mencuba-cuba melakar di kertas A4 namun malangnya hasilnya tidak menjadi. Apakan daya saya masih amatur dan masih banyak yang perlu dipelajari.



KISAH KATAK



Di sebuah ladang getah dua ekor katak sedang asyik bermain dan melompat, sehinggalah mereka menemui sebuah bekas besar yang telah ditinggalkan.

"Kita tengok apa didalam bekas ini.." katak mengajak, ingin tahu.

Tanpa berlengah katak tersebut menjenguk ke dalam bekas besar tadi. Kelihatan cecair putih melekit susu getah yang telah ditinggalkan penoreh. Sedang menjenguk-jenguk melihat, tiba-tiba katak tadi hilang imbangan badan, terus terjatuh meluncur laju kedalam bekas tersebut. 

"Tolong! keluarkan aku!" jeritan katak tersebut bergema. 

Sahabatnya yang mendengar jeritan itu lantas melompat menuju ke arah bekas tersebut, malangnya beliau turut tergelincir lalu terjatuh sama menemani sahabatnya. Maka terperangkaplah katak berdua didalam bekas yang berisi susu getah yang melekit-lekit.

"Matilah kita, matilah kita.." katak yang pertama mengomel kerisauan.

Manakala, katak yang kedua melompat sepenuh hati cuba meloloskan diri, melompat dan terus melompat kuat-kuat tanpa henti. 

"Matilah kita, matilah kita.." katak yang pertama terus mengeluh, diam kaku berputus asa. 

Katak yang kedua terus melompat sehabis daya, melompat dan terus melompat langsung tidak menghiraukan keluhan sahabatnya tadi. Katak pertama melempar pandangan kosong sambil mulutnya tidak pernah lepas mengeluh berputus asa.

Sehinggalah perlahan-lahan getah susu tersebut mengeras, dan perlahan-perlahan juga suara keluhan katak pertama sudah tidak kedengaran. 


Katak yang mengeluh tadi sudah keras tidak bernyawa terperangkap didalam getah yang sudah keras membeku.

Manakala katak yang kedua berlainan pula ceritanya.


Hasil lompatan tanpa hentinya, beliau tidak terperangkap didalam pepejal getah tersebut, lebih cemerlang beliau berjaya meloloskan diri daripada bekas dengan cara memijak badan sahabatnya lantas melompat keluar laju-laju meloloskan diri dari bekas tersebut. 


-the end-


never give up picture by http://antontang.deviantart.com/



Analogikan kisah katak diatas dengan kehidupan kita yang bergelar hamba dan khalifah.


Samalah juga dengan manusia, setiap yang bergelar insan pasti telah, pernah dan akan berhadapan dengan ujian. Kerana itulah hakikat hidup insan tidak pernah lepas daripada ujian dan cabaran.


Diuji dengan kemiskinan, kesakitan, dan mungkin juga diuji dengan kemewahan dan kekayaan.
Terpulang kepada kita untuk memilih samada menjadi katak yang pertama, terus mengeluh berputus asa atau bersikap seperti katak yang kedua berusaha sehabis upaya tanpa kenal erti jemu dan putus asa.
Dan pastinya manusia yang berjaya tidak kenal erti putus asa dan menyerah kalah. Paling penting jangan sesekali berputus asa daripada rahmat Tuhan yang maha pemurah.

Kerana Allah sentiasa bersama dengan kita;


إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ

Maksudnya; Tatkala Rasulullah berkata kepada sahabatnya ( Abu Bakar ) Janganlah kamu bersedih kerana Allah besama kita, lalu Allah s.w.t memberikan ketenangan kepadanya.

Kerana Allah hampir dengan kita dan mendengar rintihan hambanya serta gembira dengan hamba yang kembali kepadanya;


وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ


Maksudnya;Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

Kerana Allah sayang kepada hamba-hambaNya yang kembali kepadaNya;


إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ


Maksudnya; Sesungguhnya Allah sayang kepada orang-orang yang bertaubat dan menyucikan dirinya.



Wallahu a’lam.



Read more: perantaudiary | life is journey

3 comments: