Read more: perantaudiary Blogspot | life is journey diari perantau: June 2009

Monday, June 22, 2009

Mencari Kekuatan



“Setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekurangan. Setiap manusia mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing..” Saya teringat nasihat seorang senior.


Saya sedang menulis. Termenung lama memikir kembali kelebihan dan kekuatan yang ada untuk disumbangkan. Memikir kelebihan yang dikurniakan Allah, merenung manusia-manusia hebat dengan kelebihan masing-masing.



MENCARI KEKUATAN




“Kalau tak pandai bercakap, mungkin kita hebat dalam kepimpinan..” Seniour memberitahu.


“Kalau tak pandai mengurus, mungkin kita hebat menulis..” Seniour memberi cadangan.


“Cari kekuatan..” Kata kunci pada petang itu.



Jauh saya termenung. Petang itu, minda saya cergas berfikir. Berfikir tentang kelebihan dan kehebatan yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba yang sering lupa. Saya terus termenung, banyak soalan tak terjawab.


“Untuk apa mencari kekuatan?”


Sabda Nabi Muhammad


"Sebaik-baik manusia adalah orang yang lebih banyak manfaatnya kepada manusia."




Itu jawapannya. Saya sedang mencari kekuatan untuk menjadi manusia yang BERMANFAAT. Bermanfaat kepada agama dalam mendaulahkan islam. Bermanfaat kepada keluarga dengan menjadi anak yang soleh.Bermanfaat kepada masyarakat dalam menyumbang bakti untuk mereka.


Itu impian saya, menjadi insan bermanfaat.


KEKUATAN untuk menjadi manusia BERMANFAAT?


Saya masih dalam proses mencari...





SYUKUR DAN QANAAH




Jika kita muhasabah kembali syukur adalah kekuatan diri yang terpenting. Melalui syukur akan lahir sifat qana’ah yakni merasa cukup dengan apa yang ada.


Melalui dua kekuatan ini, kita bukan sahaja menjadi insan yang bermanfaat, kita akan sentiasa tenang dan bahagia. Kita akan sentiasa “berterima kasih” dengan apa yang dikurniakan Allah.


Allah akan tambahkan nikmatya kepada hambanya yang sentiasa berterima kasih kepadanya. Itu janji Allah. Allah berfirman:


Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih"

Surah Ibrahim ayat 7



Dalam kerangka mencari redha Allah dan menjadi manusia yang bermanfaat kita memerlukan dua kekuatan ini. Syukur dan sifat qana’ah.




KENAPA SAYA MENULIS?




“Ajar aku buat blog..” saya meminta kepada seorang sahabat. Semua orang ada blog, saya pun nak ada blog sendiri.


Itu matlamat asal saya menulis. Saya menulis ketika itu kerana persekitaran, menulis kerana Faktor luaran. “outside in”.

“Aku wajibkan diri menulis blog..” kata seorang sahabat.

Saya tak pernah mencuba. Jika ini sebab saya menulis, akan hilang keseronokannya. Saya membawa satu contoh, seorang mukallaf sembahyang kerana satu kewajiban.

Solat fardhu memang satu kewajiban, saya tak nafikan. Namun, apabila solat dikerjakan kerana WAJIB, hilanglah keseronokan dan kepuasan dalam ibadat. Solat sekadar untuk melepaskan diri dari satu kewajiban. Solat sekadar melepaskan batuk di tangga.


“Lakukanlah setiap perkara sebagai satu kepuasan dan keseronokan..” seorang penceramah yang amat saya kagumi memberitahu.

Saya sedang berusaha ke arah itu, menulis untuk satu kepuasan. “Inside out”. Melalui persekitaran dan pengalaman yang terbatas, saya sedang cuba untuk melahirkan tulisan dalam pelbagai corak.


Kadang-kadang tulisan saya beremosi. Dan selalunya tulisan saya tak pernah berfakta, tak pernah berformula, kadang-kadang hanya copy paste. Banyak bercerita tentang manusia, tentang diri saya pastinya.


Saya menulis untuk mencari KEKUATAN.

Saya menulis untuk menjadi insan BERMANFAAT.


p/s : Menulis untuk berkongsi dan saling memperingati.

Read more: perantaudiary | life is journey

Saturday, June 20, 2009

Jenayah Akademik aktivis Dakwah


“Insya Allah kalau kita bersusah payah dengan dakwah dan tolong agama Allah, nescaya Allah akan tolong kita”, kata seorang exco dakwah di sebuah kampus.


Kata-katanya itu sedap didengar, tetapi realitinya separuh benar separuh batil.


DULU-DULU


Dulu-dulu saya pernah membaca majalah sebuah gerakan dakwah yang kini sudah diharamkan. Ada sebuah artikel menceritakan bagaimana seorang siswi yang aktif berdakwah hingga tidak sempat membuat persiapan untuk peperiksaannya, telah bertawassul dengan nama mursyid jemaah beliau lalu tertidur di dewan peperiksaan. Sebaik sahaja siswi itu terjaga, kertas peperiksaannya sudah penuh dengan jawapan dan beliau mendapat keputusan yang cemerlang!


Itu kalau versi ‘hikayat menjadi’.


Bagi yang tidak menjadi, pernah di suatu era, ada aktivis dakwah yang menganggap kesanggupan menggagalkan diri dari pengajian atas nama dakwah adalah satu PENGORBANAN yang ditabik rakan sepasukan.


Kita tolong Allah, Allah akan tolong kita… mudah sahaja sifirnya.


Contoh-contoh ekstrim begitu adalah fenomena biasa di era 70′an dan 80′an. Era orang mencampak televisyen ke sungai kerana ‘membenci dunia’.


HARI INI


Namun hari ini, contoh begitu mungkin sudah tidak sebegitu biasa kita dengar. Perbuatan membuang pengajian atau pekerjaan kerana mahu berdakwah sudah jarang-jarang sekali sampai ke telinga kita. Akan tetapi, sikap yang berlegar pada mindset yang sama itu masih sering dilihat dalam catatan aktivis dakwah di kampus hingga ke hari semasa.


Dek kerana kerapnya saya berprogram bersama pelajar universiti, saya terus menerus mengesan masalah ini berlaku di sana sini. Bahawa ramai pelajar yang bersemangat dan aktif dengan dakwah, kecundang di bilik darjah. Kecundang di dewan kuliah.


Apakah golongan yang kecundang akademik hanya dari kelompok dakwah?


Tentu sahaja tidak.


Mereka yang lemah di bidang pengajian atau mungkin terus gagal, terdiri daripada mereka yang beridentitikan pelbagai. Mungkin yang mabuk bercinta, mungkin yang kaki gig, mungkin yang tiada sebab apa-apa sekali pun. Punca kemunduran akademik memang pelbagai. Malah saya tidak terkejut jika ada pelajar yang kecundang pengajian hanya disebabkan oleh cuaca!


Tetapi apa yang ingin diperbahaskan kali ini adalah soal hubung kait aktiviti dakwah dengan aktiviti kuliah.


‘ESCAPISM’


Kenapa suka berdakwah tetapi lesu di bilik kuliah?


Di suatu ketika, saya pernah menyeru anak muda aktivis dakwah supaya mencari keseronokan di dalam mengerjakan amal Islami. Cari nilai untuk menyalakan KEINGINAN YANG MEMBARA. Jangan hanya bergantung pada soal kewajipan, tekanan suasana dan mengikut trend semata. Dakwah itu mesti inside-out. Ia harus datang dari kepercayaan diri bahawa setiap satu tugasan dakwah, menambah makna dan nilai dalam hidup.


Tetapi dalam masa yang sama, keseronokan dakwah itu jugalah yang kemudiannya menjadi salah satu sebab mengapa aktivis dakwah di kampus hilang minat dan tumpuan pada pelajaran. Mereka bertemu dengan kepuasan dan keinginan di dalam dakwah, tetapi tidak di bilik kuliah.


Sama sahaja… sama ada pelajar di bidang pengajian Islam, mahu pun sains atau undang-undang, ia boleh terjadi. Penyakit hilang minat dan keghairahan terhadap mata pelajaran di bilik kuliah sering berlaku.


Dakwah menjadi tempat mahasiswa dan mahasiswi ini melarikan diri dari tekanan, kebosanan dan segala perasaan negatif yang dialami semasa menghadiri kuliah, tutorial dan menyiapkan assignment. Segala perasaan yang tidak seronok lagi merimaskan itu, dapat dilupakan seketika semasa hadir ke dalam usrah, tamrin, ceramah, malah demonstrasi.


Bukan sahaja program dakwah harakiyyah, malah sebahagian pelajar lebih konsisten dan hadir dengan penuh minat ke kelas-kelas menadah kitab dan pengajian tidak formal tetapi mengabaikan kelas, peperiksaan dan tidak endah pada kemerosotan keputusan peperiksaan.


ALASAN


Melebihkan dakwah mengatasi pelajaran boleh berlaku atas sebab yang pelbagai.


“Ana tahu… dah duduk di universiti ni, mana ada yang lebih penting selain pelajaran. Tapi entahlah… macam dah tak ada mood nak study!”, kata seorang pelajar.


Alhamdulillah… biar pun tindakannya membelakangkan akademik itu salah, tetapi sekurang-kurangnya beliau mengakuinya. Menyedari bahawa dirinya sedang berdepan dengan masalah. Mudah-mudahan lebih jelas jalan untuk keluar dari kesulitan ini.


Tetapi, kebimbangan itu datang apabila pelajar-pelajar yang aktif dengan dakwah membelakangkan usaha dan ikhtiarnya di dalam pelajaran dengan kepercayaan yang salah. Kepercayaan yang disangkanya sebagai jalan beragama.


MENOLAK ‘ACUH TIDAK ACUH’


“Abang nak makan ayam masak merah”, kata seorang suami kepada isterinya.

Lalu si isteri ke dapur, digorengnya ayam, ditumisnya sos yang merah, dicampur keduanya dan dihidangkan di dalam pinggan percuma semasa membeli ubat gigi kotak besar.

“Suprani, bapak mahu makan ayam masak merah”, kata lelaki yang sama itu, kepada pembantu rumahnya.

Lalu si Suprani pergi ke dapur, digoreng ayam, dibuat kuahnya seelok mungkin, ditabur pula dengan daun sup, dihias dengan bawang besar, cili belah empat kembang bunga, dan dihidang di dalam pinggan Pyrex bersama nasi panas.


Agak-agaknya, tanpa perlu berbahas dan berdebat, kita sedia maklum yang tentu sahaja si lelaki itu tadi lebih berminat untuk makan ayam masa merah hasil masakan Suprani berbanding isterinya sendiri. Dua-dua ayam masak merah, tetapi ayam masak merah si isteri itu acuh tak acuh. Cincai kata sesetengah orang. Manakala ayam masak merah si pembantu rumah, biar pun yang memasaknya adalah pembantu rumah, tetapi kesungguhannya memasak menyebabkan lelaki itu lebih teruja untuk mencubanya.


Sifirnya mudah.


Tiada manusia yang suka dengan hasil kerja ala kadar, bagai melepaskan batuk di tangga. Dan sebelum kita sesama manusia lebih memilih hasil kerja yang ada nilai kesungguhan, Allah SWT itu sebagai Tuhan lebih Memandang hasil kerja dan ibadah hamba-Nya yang dilakukan secara yang terbaik. Optimum.

Itqan.


Seorang Muslim yang benar-benar menghayati nilai Islam dalam kehidupan seharian akan melakukan apa sahaja secara bersungguh-sungguh. Sama ada sebagai memenuhi kehendak habl min al-naas sesama manusia, mahu pun dalam menunaikan tanggungjawabnya pada habl min Allah!


Maka, bersifat ala kadar dalam menerima keputusan peperiksaan justeru ala kadar juga dalam membuat persiapan pengajian… bukanlah kualiti yang layak bagi seorang Muslim. Apatah lagi Muslim yang mahu memperjuangkan Islam.


Lupakah kita kepada firman Allah SWT:


“Sesungguhnya orang terbaik yang boleh engkau ambil bekerja adalah orang yang mempunyai kekuatan lagi amanah” [Al-Qasas 28 : 26]


Kesempurnaan pada kelayakan seseorang yang ingin diberi tugasan adalah gabung jalin yang kemas di antara integriti dan kompetensi. Bukan sahaja mempunyai kualiti akhlaq malah memiliki kemahiran, ilmu pengetahuan dan segala kekuatan yang diperlukan untuk sebuah tugasan.


Kita tidak mahu gerakan Islam dan barisan saf perjuangan Islam dipenuhi dengan longgokan sisa manusia yang tidak berkualiti. Membiarkan pencapaian masing-masing di dalam akademik pada tahap atas urat, adalah suatu pengkhianatan kepada ketinggian dan kemuliaan Islam.



KEPUTUSAN PEPERIKSAAN BUKAN SEGALANYA


Setuju. Saya setuju 100%.


Sebab itu saya tidak pernah mengajak kita mengukur kecemerlangan hanya berpandukan keputusan peperiksaan. Ada banyak faktor yang mempengaruhi keputusan peperiksaan, biar pun selalunya ia berpihak kepada yang tekun berusaha.


Kecemerlangan yang diperlukan ialah pada komitmen pelajar yang da’ie, menempuh proses pembelajaran, dan bukan hanya berorientasikan output. Maksud saya, sama ada seorang pelajar itu hadir ke kelas, mengikuti kuliah, membuat kajian, menulis assignmentitulah sebenar-benarnya penentu kecemerlangan. Segala proses itu penting kerana ia merupakan latihan sebenar kepada pemikiran dan daya ilmiah seorang pelajar. Di dalam kelaslah dia belajar berfikiran kritis, belajar bertemu dengan pandangan-pandangan yang berbeza, belajar bersoal jawab, belajar bertanya dan belajar menjawab… iaitu segala-galanya yang di kemudian hari menjadi asas terpenting untuk memimpin dan menerajui masyarakat.


Dan sudah semestinya, jika kelas dihadiri, kajian dibuat, menulis assignment diselesaikan, sedikit sebanyak ia akan menghasilkan natijah yang bagus di akhir musim peperiksaan.


Tetapi kalau kita berhasil menjawab keputusan peperiksaan hanya kerana ‘bernasib baik’ apabila soalan dihafal secara last minute, tetapi tidak ke kelas, tidak mengikuti PROSES pembelajaran, maka segala-galanya tidak ke mana. Lantas segenggam ijazah pun belum tentu ada nilainya!


Pendakwah yang mengkhianati proses pembelajaran semasa di alam menara gading, mereka amat berpotensi untuk masuk ke masyarakat dengan kualiti kepimpinan yang lemah… ekoran pemikiran tumpul yang tidak diasah semasa di alam belajar!


AKIBAT LEMAH AKADEMIK


Kadang-kadang kita menganggap akademik hanya sebagai wasilah. Sekadar tiket untuk memenangi kepercayaan masyarakat. Seumpama lesen.


Tetapi kita sering lupa, lemahnya penguasaan diri terhadap ilmu-ilmu di kelas akan memberikan implikasi yang buruk di masa hadapan… bukan hanya semasa alam pekerjaan bahkan boleh melarat hingga ke Akhirat.


Syariatullah


Pelajar pengajian Islam yang tidak menguasai pengajiannya akibat lemah tahap pembelajaran akan terdedah kepada jenayah di masa depan.

“Ustaz, apa hukumnya zakat KWSP?”, tanya seorang jemaah di surau.

“Alamak… itulah benda yang pensyarah bincangkan tapi aku tak pergi kelas masa tu!” rungut si ustaz di dalam hatinya.

“Err… saya rasa tak payah kot!”, jawab si ustaz ala-ala mujtahid.

Tidakkah perbuatan itu suatu pengkhianatan? Memberikan panduan muamalat yang salah kepada masyarakat, mengingkari Syariat Allah SWT lantaran kecuaian dirinya sendiri semasa di alam pembelajaran. Semasa belajar sudah biasa tak buat homework, bila berceramah pun tak buat homework.

Itu jenayah terhadap Syariatullah.


Sunnatullah


“Err, pesakit diabetik ni nak suntik 1 unit atau 10 unit atau 100 unit insulin ya?”, seorang doktor muda berteka-teki di dalam dirinya.

Akibat kemalasannya terhadap kelas pengajian, atau belajar secara ala kadar, beliau menyuntik pesakitnya dengan 100 unit insulin sedangkan peraturan tubuh badan yang ditentukan Allah SWT hanyalah pada kadar 6 ke 10 unit.

Pesakit mati mengejut akibat hipoglesimik.

Berdosa atau tidak? Jenayah atau tidak?

Dosa terbit bukan hanya kerana melanggar hukum Syariat tetapi juga hukum Sains. Seorang ustaz yang tidak berkompetensi, sama sahaja dengan seorang doktor, jurutera, atau apa sahaja pekerjaan profesional yang tidak berkompetensi.

Mencetus mudarat..

Maka ala kadar dalam menguasai bidang pengajian masing-masing bukan sekadar masalah sikap yang biasa. Ia mampu membunuh!

Ke mana anda mahu membawa dakwah jika duduk di tengah masyarakat sebagai ustaz yang tiada amanah ilmiah atau doktor yang tiada amanah yang sama?



ALLAH MESTI TOLONG


Akhirnya sampai kita kepada alasan paling biasa.

Kita manusia biasa, tetapi sering mengharapkan benda-benda yang luar biasa.

“Kalau kita tolong agama Allah, mesti Allah akan tolong kita!”, yakin benar seorang aktivis dakwah kampus berkata begitu.

Cuba perhatikan firman Allah SWT:


“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu. Dan Allah itu Maha Berilmu terhadap segala sesuatu” [Al-Baqarah 2: 282]

Allah SWT berjanji akan membantu.

Tetapi syarat asasnya adalah TAQWA.


TAQWA itu adalah kepatuhan yang menyeluruh terhadap peraturan Allah SWT… meliputi Syariatullah dan Sunnatullah. Ia telah pun saya jelaskan dengan panjang lebar semasa memperkatakan tentang kualiti Muslim yang mesti bukan sahaja SYARIATIC (komited dengan Syariatullah) malah SCIENTIFIC (komited dengan Sunnatullah).


Jika kita baca sejarah perjuangan Rasulullah SAW, baginda tidak pernah mengambil jalan mudah memperalatkan statusnya sebagai seorang Rasul dan pejuang kebenaran untuk melengah-lengahkan persediaan. Tidak pernah baginda berkata “kalau Allah yang perintahkan aku berjuang, mesti Allah akan tolong menangkan aku!” Tidak sama sekali.


Biar pun sehimpun janji dikurniakan Allah bahawa kebenaran akan mengalahkan kebatilan, Baginda SAW sentiasa mengambil asbab kemenangan secara optimum.


Jika dianalisa peristiwa Hijrah, Baginda SAW telah mengatur sehebat-hebat strategi dan persiapakan untuk menjayakannya. Begitu juga dalam perang-perang yang lain. Strategi yang pada hari ini layak digelar sebagai SAINS KETENTERAAN.


Termasuk juga dalam soal pentadbiran, pengurusan dan kerja seharian. Baginda SAW tidak pernah memalaskan diri dalam ikhtiar dan usaha hanya kerana keyakinan bahawa “Allah bersama kita!”.



Tetapi aktivis dakwah hari ini ramai yang mudah tersasar.

Mereka tanpa segan silu dan malu, merengek-rengek meminta kemenangan sedangkan ikhtiarnya tidak seberapa. Hanya kerana Allah menjanjikan kemenangan bagi pihak yang memperjuangkan kebenaran, mereka melengahkan usaha, tidak seperti orang tidak berTuhan yang tiada janji kemenangan! Pejuang kebatilan melakukan sepenuh daya upaya mereka untuk perjuangan mereka… kesungguhan yang sepatutnya menjadi isi dan kulit manusia berTuhan seperti kita.


BERLATIH MENGURUSKAN REALITI


Sesungguhnya aktivis dakwah di kampus yang gagal menguruskan pengajian di samping tugasan dakwah… mungkin bakal menjadi aktivis yang turut gagal apabila keluar dari kampus.

Tahun 2 pengajian jauh lebih sibuk dari tahun 1.

Tahun akhir jauh lebih sibuk dari tahun-tahun yang sebelumnya.

Bekerja sebelum pengesahan jawatan jauh lebih sibuk dari tahun akhir pengajian.


Bekerja selepas pengesahan jawatan akan disibukkan pula dengan alam berumahtangga. Dari satu emak satu bapa, menjadi dua emak dua bapa. Dari satu kelompok sepupu menjadi dua kelompok sepupu. Dari 5 jemputan kenduri semasa cuti bertambah menjadi 10… semua itu akan berterusan.


Tatkala komitmen semakin reda, jantung pula sudah lemah, darah sudah bertekanan tinggi, urat dan sendi sudah tidak sihat lagi.


TAMRIN DISIPLIN


Sesungguhnya keupayaan seorang pelajar menguruskan akademiknya adalah TAMRIN yang paling penting untuk menghasilkan kualiti pengurusan realiti yang diperlukan apabila pelajar ini meninggalkan alam pengajian.


TAMRIN itu adalah TAMRIN DISIPLIN. Latihan mendisiplinkan diri iaitu berusaha untuk mengawal diri agar komited melakukan perkara yang kita tidak suka, demi meraih apa yang kita suka, suatu hari nanti. Di samping beroleh keseronokan sebagai momentum di dalam dakwah, jangan lupa bahawa ada perkara tidak seronok yang perlu kita pelihara sebaiknya.


“Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” [Al-Baqarah 2: 216]


Mungkin di alam TAMRIN akademik, bilik kuliah adalah medan perang yang kamu benci… padahal ia ditentukan Allah sebagai KEBAIKAN buat dirimu.


Berdisiplinlah!


p/s: pelajar yang enggan memikul amanah dakwah dengan alasan kesibukan akademik juga harus banyak berkoreksi dan memuhasabah diri…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur





kand@ said : Bersama kita renungkan,

Read more: perantaudiary | life is journey

Wednesday, June 17, 2009

Influenza biskut



“Mana bilik A153?” pengawal keselamatan berkumis tebal lengkap beruniform menyoal.

Saya orang pertama kebetulan berada di tempat kejadian.

Petang maghrib sebelum azan Kolej Kediaman Sutera Indah (KKSI) telah diziarahi kakitangan jabatan kesihatan dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA). Lampu siren kenderaan menarik perhatian ramai. Kehadiran pegawai kesihatan dengan mask menimbulkan pelbagai persoalan.

“Ni apahal Encik?” saya menyoal pegawai kesihatan.

“Kawan awak positif..” Dia menjawab.

“H5N1?..” saya menyampuk. Pegawai menganguk saya menelan air liur.





INFLUENZA B @ BISKUT



Beberapa hari sebelum kejadian pihak university telah menganjurkan satu lawatan ke luar Negara iaitu ke Australia. Selepas pulang, sahabat tadi mengadu demam dan tidak sihat, dia segera dibawa ke klinik berhampiran. Di sana, dia telah dikuarantin kerana di syaki menghidapi selsema babi. Sehinggalah berita petang itu diterima, dia kini positif influenza A!



“Awak ada nombor talifon semua pensyarah ni?” Pegawai menyoal sambil satu list name dipamerkan.



“Ni semua pensyarah FST.. tapi saya tak de nombor diaorang” saya menjawab.

Saya telah diminta oleh pegawai tadi untuk menunjukkan bilik yang mula-mula diziarahi oleh sahabat selepas pulang dari Australia. A153 menjadi rumah tumpangan beliau selepas pulang dari luar Negara. Dan apa yang merisaukan bilik tersebut sering saya kunjungi, Darul salaf menjadi rumah kedua saya.



“Tu dia punya housemate!” saya terlihat Sedey menuju ke Surau.



Sedey dipanggil. Mask segera diberikan, mereka membawa Sedey entah ke mana. Kemungkinan besar, semua ahli rumah tersebut akan dikuarantin. Saya terkenang biskut mary yang masih berada di Darul Salaf.





UJIAN ALLAH







Pesakit sedang menjalankan terapi, dipimpin saudara syahir



Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun". Mereka Itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka Itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Surah Al-Baqarah

155-157

Seperti dinyatakan dalam ayat diatas,semua manusia yang beriman atau yang kafir diuji dengan pelbagai cara. Manusia seharusnya mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa musibah ini. Apa yang pasti, Allah tidak menciptakan sesuatu tanpa sebarang tujuan, setiap bencana yang terjadi menjadi peringatan kepada manusia bertujuan menyelamatkan manusia itu sendiri dari angkara maksiat yang terjadi dalam masyarakat mereka.



Tidak ada suatu musibah yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk dan hidayah kepada hatinya. Dan Allah maha mengetahui segala sesuatu.



Satu pengajaran yang boleh diambil dari bencana-bancana ini ialah bahawa manusia yang menganggap dirinya hebat di muka bumi ini akan menyedari bahawa ia sangat lemah dan sebenarnya tidak mempunyai sebarang kekuatan untuk mengendalikan semua ini. Manusia tidak mampu menolong dirinya apatah lagi orang lain, Subhanallah. Hal ini dinyatakan dalam Quran.



“Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, Maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, Maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”

Surah Al-An’aam 17

(Sumber Hakikat kehidupan duniawi; Harun yahya)





KUARANTIN





Selesai sesi terapi seorang sahabat rebah (main-main je )



“TOk.. tok..TOk..” saya mengetuk pintu rumah A15, Pintu rumah dibuka perlahan.

“Nak biskut..” saya meminta kepada mangsa kuarantin perlahan. Takut-takut ada pegawai kesihatan yang melihat.

Biskut mary diambil dengan penuh berhati-hati. Ia menjadi sumber kekuatan saya untuk beberapa hari ini. Biskut yang diperoleh dari kem harapan Sapura itu mengisi perut saya ketika lapar.

Malam itu saya ditugaskan untuk membeli makanan untuk mereka yang dikuarantin. Seramai tiga orang ahli Darul Salaf telah dikurung di rumah mereka sendiri, A15. Saya difahamkan mereka akan berada di sana untuk tujuh hari. Sesiapa pun tidak dibenar keluar dan masuk ke Darul Salaf.



p/s : Kepada semua penghuni KKSI anda diminta menjauhi A15 dan C18 untuk tujuh hari ini. Kepada ahli Darul Salaf, semoga anda bersabar atas ujian..

Read more: perantaudiary | life is journey

Sunday, June 14, 2009

Hope to Hopeless





“Pertama, keluarkan satu kertas A4” Saya memberikan arahan.



“ Arahan kedua, abang nak awak lipat kertas tadi menjadi empat bahagian” Saya meneruskan aktiviti.

Malam itu saya bersama dua belas ahli kumpulan tiger squad menjalankan modul kepentingan diri dan lifeline. Bertempat di Kolej Kediaman Nilam Courth, saya telah meluangkan masa menjadi salah seorang fasilitator untuk kem harapan Sapura anjuran Yayasan harapan kanak-kanak Malaysia dibantu Sekretriat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM).

Seramai lebih kurang tiga ratus orang peserta dari kalangan anak yatim dan pelajar miskin dari pelbagai jenis sekolah di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan telah terlibat.

“Apa yang penting? Wonderpac!” Acap menjerit.

“Acap jangan menjerit..” saya menasihati,Acap tersengih.



Bersama tiger squad





Dari kiri Danial, Acap, Saya dan Ain



Mengawal peserta dari pelbagai latar belakang, peringkat umur dan tahap pemikiran, betul-betul mencabar emosi. Adik-adik UPSR yang sangat suka bermain, abang-abang Pmr dan SPM dengan ego masing-masing. Tiger Squad saya terdiri daripada 5 orang calon PMR dan tujuh orang calon UPSR. Ditemani Acap dan Danial yang sangat hyperaktif membuatkan saya tidak kering idea.



Fc yang penyayang



Tiger Squad



PENGALAMAN BARU



Mangsa explorace



“Arahan ketiga koyakkan kertas tadi menjadi empat bahagian” modul kepentingan diri diteruskan.

“ Arahan seterusnya tuliskan di setiap helaian tadi keluarga, sahabat, harta dan pendidikan” saya menambah.

“OK, Abang nak awak semua pejam mata sekarang” aktiviti diteruskan.

“Abang nak buat magic ke?” Acap menyoal.

“Semua pejam mata, jujur” saya tak melayan.

“Sekarang kosongkan fikiran” peserta diminta mengosongkan fikiran untuk lima minit.

“OK, semua boleh bukak mata sekarang..”.

Malam itu peserta diminta menyusun empat perkara tersebut mengikut kepentingan. Seterusnya, mengoyakkan tiga perkara yang mereka rasa tidak penting untuk diri mereka dan membuangkannya dengan penuh perasaan geram. Semua ahli tiger squad memilih keluarga sebagai perkara yang paling penting.



Bola beracun



Fc yang terlibat





Fc muslimeen





“Kenapa Nanisa pilih keluarga?” Saya menyoal.

“Bukan ke ramai keluarga dekat luar sana, yang buang anak mereka..” saya membuat provokasi.

Modul tersebut bermatlamat supaya peserta sedar bahawa pendidikan merupakan perkara yang paling penting untuk diri mereka.Malam itu peserta dibawa untuk berfikir kembali tentang matlamat mereka.Modul lifeline menjadi sesi muhasabah untuk para peserta.



Bersama datin Rosmah



HOPE TO HOPELESS



Saya tertarik dengan ucapan dan nasihat yang disampaikan CEO kumpulan Sapura dalam upacara penutup.

“Analogi seperti pelita yang sudah terisi dengan minyak tanah, dan dinyalakan sedikit demi sedikit, terpulang kepada adik-adik peserta untuk meneruskan nyalaan pelita tersebut”

Beliau turut mengharapkan agar adik-adik peserta dapat memberikan harapan baru kepada agama, keluarga dan sahabat.

Memberikan harapan kepada yang putus harapan, sangat men

dalam makna yang tersirat. Visi atau harapan yang jelas dapat meledakkan semangat. Nabi Muhammad S.A.W adalah contoh tauladan yang terbaik. Harapan beliau adalah melihat manusia mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat dengan cara mengabdikan diri kepada Allah di muka bumi ini.



Nabi Muhammad juga merupakan anak yatim. Apa yangmenjadikan beliau seorang yang hebat adalah harapan dan visinya yang jelas, beliau memberikan harapan dan berkongsi visi kepada seluruh umat di bawah bimbingan wahyu Allah.

Beliau hidup di tengah masyarakat jahiliah yang asyik bersengketa antara satu sama lain. Tidak sesiapun yang menjangkakan di tengah-tengah masyarakat yang tidak mempunyai tamadun ini akan lahir seorang anak yatim yang bakal mengubah segala-galanya. Hebatnya seorang anak yatim.

Mari kita mencontohi peribadi rasulullah dengan melaksanakan, berkongsi dan menyebarkan harapan iaitu seruan dakwah baginda di segenap alam. Memberi harapan kepada mereka yang putus harapan. Hope to hopeless.



WARKAH



Lagu warisan dinyanyikan



Malam sebelum itu, peserta diarahkan supaya menulis warkah untuk isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Rosmah Mansor. Beliau telah menghadirkan diri ke kampus induk USIM untuk bertemu para peserta. Saya sakit perut ketawa membaca warkah yang telah ditulis oleh Acap.



“Assalamualikum, saya tengok datin sangat cantik hari ni, tu je saya nak cakap”





p/s: alfatihah untuk mujahidin Fathi Yakan.







Read more: perantaudiary | life is journey