Read more: perantaudiary Blogspot | life is journey diari perantau: ketika talqin dibaca

Sunday, July 18, 2010

ketika talqin dibaca







Ada rasa sebak.

Perasaan yang bercampur-campur.

Dihadapan saya kini sebujur mayat yang telah sempurna dikafankan, hanya menanti untuk urusan seterusnya.

Usai solat fardhu isyak, Jenazah segera diuruskan. Solat jenazah secara berjemaah dan langsung jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.

Saya perhatikan dalam-dalam, saya bayangkan andai saya yang berada di dalam van jenazah tersebut. Sebujur mayat yang tidak ada barang upaya dan sedang menikmati detik-detik terakhir sebuah perjalanan terakhirnya di atas dunia.

Benar, perjalanan terakhir di alam dunia yang fana ini untuk kealam berikunya, ke alam barzakh.

Tanah perkuburan tersebut betul-betul terletak diseberang landasan kereta api. Pekat malam berteman cahaya lampu daripada van jenazah, mayat terus diusung melintasi landasan kereta api, lansung melintasi pintu gerbang tanah perkuburan.

Kediaman kekal sebelum dibangkitkan buat kali kedua.

Keranda diturunkan perlahan, tanah becak akibat hujan sejak petang tadi melambatkan sedikit perjalanan. Tiga orang waris turun ke lahad untuk menyambut ke rumah baru yang sempit dan bakal dipenuhi dengan ulat dan binatang bisa.

Tubuh dipangkul erat, segera diletakkan kedalam satu ruang kecil didalam lahad. Tali kafan dibukakan sedikit, wajah betul-betul dihadapkan ketanah, hidung pula tepat mencium tepi liang lahad.

Begitulah, dari tanah kita datang dan kepada tanah jua kita akan kembali.

Perlahan, tanah yang bertimbun di bahagian tepi segera dikambus semula ke dalam kediaman baru ini. Ya, Kediaman ini sangat sempit dan sunyi. Tiada hiburan, tiada teman hanya berbekal amalan sebagai bekal menuju perjalanan seterusnya.

Sama-samalah kita beramal kebajiakn moga-moga rumah-rumah yang bakal kita duduki ini menjadi taman-taman syurga, dan usahakan agar kediaman-kediaman ini tidak menjadi lubang antara lubang-lubang daripada neraka.

Selesai semuanya, Imam pula mengambil peranan dan ketika itulah talqin dibaca..

p/s- Menguruskan jenazah melahirkan keinsafan yang sukar untuk dijelaskan dan menjadi peringatan buat yang masih hidup bahawa kita semua bakal mengalami proses yang sama.


lokasi: Tanah Perkuburan Batang Benar

Tarikh: 18.7.2010 (9.45pm)

Read more: perantaudiary | life is journey

No comments:

Post a Comment