Read more: perantaudiary Blogspot | life is journey diari perantau: lembah kehidupan

Tuesday, December 1, 2009

lembah kehidupan





penjarakan hawa nafsu


Ramai yang mengarang episod kehidupan.

Menambah perisa sebagai penyedap rasa, menghiasi kehidupan dengan bunga penyeri. Novel mahupun, cerkon (cerita kontot). Dan pastinya, jika bermula dengan kesulitan akan diakhiri kebahagiaan. Maka tersenyumlah mereka yang membaca kehidupan yang indah sebegini.

Ada yang sanggup menghadam kisah yang berakhir dengan penderitaan?

Begitulah fitrah manusia, selalu menginginkan yang indah.


DI DALAM LEMBAH KEHIDUPAN

Membaca karangan Profesor Dr. HAMKA “di alam lembah kehidupan”, membuka minda dan membuatkan kita membaca kehidupan dari sudut berbeza.

Himpunan kisah kehidupan yang bermula dengan keperitan, di pertengahannya penderitaan, berakhir dengan ratapan dan kesedihan.

Himpunan air mata, kesedihan dan rintihan segolongan manusia yang hidup di atas dunia ini.

Nun jauh di lembah kehidupan ada segolongan manusia yang merintih. Seorang manusia yang mati melarat akibat kebuluran di jalanan. Seorang miskin yang meninggal dunia kerana tidak berkemampuan untuk menanggung kos perubatan. Anak yang merempat mengemis untuk mencari sesuap nasi.

Nah, bayangkan anda menonton atau membaca kisah sebegini, bagaimana rasanya?

Membaca perjalanan kehidupan manusia yang disulami dengan penderitaan silih berganti, dan berakhir pula kehidupan di dunia dengan penderitaan.

Diulang, hanya kehidupan di dunia!

Namun, banyak pengajaran untuk golongan senang dan golongan yang susah untuk dihayati bersama.


GULA-GULA

Teringat satu kisah ringkas, namun padat dengan pengajaran untuk dihayati dua golongan di atas. Kisah bermula,dalam perjalanan pulang seorang lelaki bertemu dengan seorang kanak kanak yang sedang menangis.

“Kenapa kamu menangis?” tanya lelaki tesebut.

“Duit saya untuk membeli gula gula hilang..” kanak-kanak tersebut menjawab.

Lelaki tersebut lantas memberikan wangnya kepada kanak kanak tersebut. Tanpa terima kasih, wang tersebut diambil dan tiba-tiba kanak kanak tersebut meneruskan tangisannya.

Lelaki tadi menjadi hairan lantas bertanya,

“Kenapa kamu menangis lagi? bukankah aku telah menggantikan duit kamu yang hilang..”

“Jika duit aku tidak hilang, tentu jumlahnya akan berganda lebih banyak!” kanak kanak tersebut menjawab meneruskan tangisannya.

Tangisan kali pertama menggambarkan kesedihan dan rintihan seorang manusia apabila di uji. Rasa sempitnya dunia apabila menerima ujian. Inilah yang dialami oleh golongan yang menerima ujian, apabila menerima dugaan dan musibah kita haruslah sedar bahawa kita sedang diuji tahap keimanan, dan sentiasa yakin dan percaya setiap musibah pasti ada hikmahnya.

Melalui berlapang dada dan sentiasa positif, jiwa akan sentiasa tenang.

Tangisan kedua menggambarkan sifat manusia yang tidak akan pernah puas mengecap nikmat dunia.

Tamaknya menikmati dunia, tidak pernah puas mengecap nikmat dunia!

Sanggup melakukan apa saja, asalkan tuntutan dunia dan nafsu dapat dipenuhi tanpa mengira syariat agama. Setiap amalan yang dilakukan hanya bertuhankan hawa nafsu yang dibimbing bisikan syaitan.

Dan akhirnya sesat tanpa pedoman.

Bijak pandai pernah berkata,

“Dunia ibarat air laut, diminum hanya menambah haus. Nafsu bagaikan fatamorgana di padang pasir, dilihat ada, ditangkap hilang.”

Golongan pertama terus diuji dengan ujian, menangis merintih bertawakal kepada Allah, manakala golongan kedua terus tamak menghirup nikmat dunia, tidak pernah puas mengecap kenikmaan yang hanya sementara.

Persoalannya,

Mampukah kita menjadi seperti manusia di golongan yang pertama?

Atau adakah kita sebagai penambah bilangan golongan kedua?

sama-sama renungkan..



p/s: hamba yang sangat hina~


hidup sebuah perjalanan~

Read more: perantaudiary | life is journey

No comments:

Post a Comment