Hampir setiap kali saya ke masjid saya akan terserempak dengan kelibat beliau.
Tidak kiralah apa waktu sekalipun, maghrib, isyak malahan fardhu zohor dan asar sekalipun. Jika pun sahabat tadi tidak terlihat, kenderaannya pasti menimbulkan kekaguman yang luar biasa. Betul, pasti yang melihat kelibat beliau akan termenung jauh.
Bayangkan, kedua kaki anda tidak berfungsi.
Dan kenderaan harian anda adalah sebuah kerusi roda.
Namun, dengan keadaan tersebut, tidak dijadikan pula alasan sahabat tadi untuk tidak menunaikan solat fardhu secara berjemaah.
Dengan jarak yang tidak dekat saya kira untuk menghayun tangan mengayuh kerusi rodanya, paling menginsafkan di tengah panas yang terik beliau masih lagi tegar untuk solat berjemaah tanpa bantuan sesiapa!
Dan melihat sahabat mengesot mengheret badannya ke dalam masjid, dari tangga menuju ke dalam masjid dengan segala sisa kudrat yang dimiiki pastinya menimbulkan keinsafan.
“Ya Allah, tabahkan hati sahabat tadi, bersyukurlah kerana kita masih lagi dikurniakan nikmat untuk berjalan dan berlari”.
Namun, alasan apa untuk kita tidak menunaikan solat fardhu secara berjemaah?
Saya termenung panjang.
KISAH TUKANG KAYU
Saya teringat tazkirah selepas fardhu maghrib tadi.
Pasti temanya tidak lari daripada persediaan menyambut bulan Ramadan yang bakal menjelma tidak berapa hari lagi.
Kisahnya saya ringkaskan begini.
Di sebuah negeri, terdapat seorang tukang kayu yang sangat mahir membina rumah. Beliau cukup terkenal dengan ketelitian dan kecantikan setiap daripada hasil kerjanya. Hinggalah suatu hari, beliau mengambil keputusan untuk bersara.
Apabila majikannya mendengar luahan hati tukang kayu yang berpengalaman itu, dia merasa sedih dan memujuk tukang kayu tersebut agar menarik balik keputusannya. Akan tetapi, tukang kayu itu tidak berganjak dan tetap dengan niat untuk bersara.
Justeru itu, majikannya bersetuju dengan keputusan tukang kayu itu, tetapi dengan satu syarat. Permintaan terakhir majikannya ialah menyuruh tukang kayu itu membina sebuah rumah buat kali terakhir.
Tukang kayu tersebut bersetuju, namun akibat sudah jemu dan bosan dengan kerjanya sebagai tukang kayu beliau menyiapkan rumah tersebut dengan sambil lewa dan menggunakan bahan yang rendah kualitinya.
"Inilah hadiah persaraan daripada saya kepada kamu. Selamat bersara.."
Tukang kayu itu terkejut besar dengan kata-kata majikannya. Dia tidak menyangka bahawa rumah yang dibinanya buat kali terakhir itu adalah rumah untuk kegunaannya sendiri.
AHLAN WASAHLAN RAMADAN
Cuba kita renung sejenak dan kaitkan kisah tukang kayu tadi dengan Ramadan yang insyaAllah bakal kita temui. Pengajarannya mudah, jangan bersikap seperti kisah tukang kayu tadi yang menyediakan hadiah untuk dirinya dengan sambil lewa dan menggunakan bahan dari barangan yang tidak berkualiti.
Bayangkan ramadan kali ini seperti rumah terakhir yang perlu disiapkan oleh tukang kayu dalam kisah tadi.
Dan cuba bayangkan andai ini adalah ramadan kita yang terakhir.
Sesungguhnya amalan yang kita bakal persembahkan untuk Allah sepanjang menjalani ibadah di bulan yang penuh kemuliaan ini, natijahnya adalah untuk diri kita sendiri.
Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
Surah al-Baqarah: 183
Moga-moga amalan kita diterima Allah swt.
Dan paling penting mudah-mudahan kita diberi kesempatan dan peluang untuk menemui Ramadan.
“Allaahumma baarik lana fii rajaba wa sya’baana, wa ballighna ramadhaan”.
“Ya Allah, berilah keberkahan pada kami di dalam bulan Rajab dan Sya’ban serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan.”
Amen..
Ramadhan adalah bulan nuzul quran.
ReplyDeleteRamadhan adalah bulan padanya laitulatul qadr.
Ramadhan adalah bulan padanya syaitan dibelenggu.
Ramadhan juga adalah bulan manusia mencari keuntungan.
Sebaik-baik keuntungan itu keuntungan akhirat.
Tetapi mengapa ramai orang yang masih mencari keuntungan dunia didalam bulan yang Allah menyediakan dalamnya keuntungan akhirat yang berbilang-berbilang?
Jangan leka, jangan lalai.
-mujahid-
Semoga kita semua diberkati di bulan yang penuh berkat.
ReplyDelete-perantau-
InsyaAllah, Allah Pemberi Kebaikan memberi kebaikan kpd siapa yang ia kehendaki.
ReplyDeletep/s: Mudahan-mudahan dgn berkat ramadhan Allah memudahkan urusan kita.
-mujahid-
ameen=)
ReplyDelete-inniakhofullah-
semoga tarbiah didalam madrasah ramadan menjadikan diri kita hamba yang lebih baik.
ReplyDeleteameen..
-perantau-
note : cannot copy mujahid skills.
ReplyDeleteex, -mujahid- as anonymous
pls make your own skills. tq.
mujahid,
ReplyDeleteittiba' dibenarkan=)
-inniakhofullah-
ramadhan kareem~
ReplyDelete