Merenung awan dan memerhati luasnya langit.
Tidak jarang termenung dan kadang-kadang hanyut dalam kebesaran dan keagungan ciptaan Allah swt ini.
Langit bertukar wajah setiap hari, permandangan yang berbeda saban waktu. Petang begitu wajahnya, senja begini pula wataknya.
Keindahan yang luar biasa.
Awan menjadi watak dan angin pula sebagai pengarah.
Patuhnya awan tak pernah membantah, mengikut setiap arahan yang disampaikan. Jika diarah ke utara, terus berarak menuju utara dan begitulah sebaliknya. Kadang-kadang angin mengarah lembut dan tidak jarang deras menderu.
Namun hakikatnya semua dalam percaturan Allah swt.
"Dialah Allah Yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendakiNya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal; lalu kamu lihat air hujan keluar dari celah-celahnya; maka, apabila hujan itu turun mengenai hamba-hambaNya yang dikehendakiNya, tiba-tiba mereka menjadi gembira"
Surah Ar-Ruum ayat 48
Tidakkah Engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? selepas itu Engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) Yang ada padanya; lalu ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa Yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari sesiapa Yang dikehendakiNya. sinaran Kilat Yang terpancar dari awan Yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan.
Surah An-Nuur Ayat 43
Awan boleh saja bertukar watak, kadang-kadang membawa rahmat membasahkan bumi yang sedang bertahun-tahun dilanda kemarau. Dan tidak kurang sebagai peringatan membawa bersama angin taufan yang memusnahkan.
Jadilah seperti awan, patuh dan tak pernah membantah. Jadikanlah peraturan ilahi sebagai ‘angin’ panduan. Ya, syariat Allah sebagai angin panduan, melakukan apa yang disuruh dan sedaya meninggalkan apa yang dilarang. Ah, syariat bukanlah bebanan tetapi menjadi garis panduan.
Pandanglah ke langit!
Rasai kehebatan dan keagungan Allah swt.
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal”
Surah Ali-Imran ayat 190
p/s- Muhasabah. Langit Ramadan bakal meninggalkan kita.
memandang langit kerana memperhatikan kebesaran Ilahi adalah sesuatu yg baik. adalah sesuatu yg lebih baik yg natijahnya drpd memandang langit iaitu memandang diri sendiri.
ReplyDelete"dan pada dirimu, apakah engkau tidak melihat?"
orang2 yg celik matanya, maka diberi peluang oleh Allah utk melihat langit, sebaliknya berlaku kpd org buta.
tetapi berapa ramai orang yg diberi oleh Allah peluang utk melihat dirinya? Iaitulah orang2 yg celik mata hatinya.
-mujahid-
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal”
ReplyDeleteSurah Ali-Imran ayat 190
-perantau-
melihat diri sbg muhasabah kita
ReplyDeletemelihat langit sbg tanda kesyukuran pd allah
kedua2nya adalah ZIKIR kpd Allah
-Farisi