Read more: perantaudiary Blogspot | life is journey diari perantau: Sakit

Saturday, August 22, 2009

Sakit




Batuk saya berbunyi pelik, kepala pening berpusing. Sudah tiga hari badan tak stabil, sejak pulang dari program pemikir, badan mula sengal dan tekak mulai sakit. Badan betul-betul sejuk menggigil.


Dada sesak, sukar untuk bernafas. Pulang ke kampung, saya tak dapat bangun. Tidur sepanjang hari, gagahkan juga untuk menunaikan yang fardhu. Payahnya seperti tercabut kaki, tangan, dan kepala!


Hari kedua mengalami perkara yang serupa, cuba untuk ke klinik.

“Dah berapa hari demam?”

“Ada sakit tekak?”

“Batuk?”


Antara soalan yang ditanya sebelum saya disuruh pergi ke poliklinik sejauh lebih kurang 10 km. Pukul 3.30pm matahari tepat di atas kepala, saya bertolak seorang diri bersama helmet putih ke klinik yang dimaksudkan. Ayah sudah mula menunjukkan kerisauannya ketika memasang side mirror yang tercabut sebelum saya bertolak.


“Nak ayah hantar ke?”

“Tak pe..”



ENGINEER & KONTRAKTOR


Saat ini saya terkenang satu kisah yang disampaikan seorang sahabat. Kisah kontraktor dan engineer. Bagaimana seorang engineer yang berada di tingkat atas tapak projek cuba untuk memanggil kontraktornya.


Usaha pertama dengan membaling duit syiling, tepat jatuh di atas kepala kontraktor tadi. Namun usahanya gagal, duit syiling tadi dikutip dan dimasukkan terus ke dalam poket.


Usaha diteruskan, kali ini seketul batu kecil digunakan. Meluncur laju tepat mengena kepala kontraktor tadi. Usahanya berhasil, dalam kesakitan kontraktor tadi mula mendongak ke atas mencari asal usul batu tersebut.


Pengajarannya mudah.


Ketika kita dikurniakan dengan pelbagai nikmat dari Allah, sungguh payah untuk bersyukur. Dikurniakan nikmat yang melimpah, hanya sedikit ucapan terima kasih kepada Allah.


Namun, Apabila diuji dengan secubit ujian mula mencari, merintih, mengadu kepada Allah.



Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 214 tafsirnya :


“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cobaan)seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada besertanya, bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah,sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)”.


Setibanya di klinik saya diperiksa suhu badan, tekanan darah, dan sebagainya. Dan akhirnya


“Awak ada gejala H1N1..”






Sehingga petang itu saya disyaki mengidap selsema babi. Dr menasihati agar saya dikuarantin sehingga sembuh. Paling penting jangan biarkan ahli keluarga yang lain berjangkit. Saya dibekalkan ubat batuk dan sepapan ubat KK. Terus Pulang ke rumah memakai topeng.

27 sya’ban 1429H


RAMADAN KAREEM


Alhamdulillah, saya selamat menunaikan puasa, gejala tersebut tak lama. Diberi kesihatan untuk bertemu Ramadan kali ini..


“Wahai mereka yang belum cukup baginya dosa pada bulan Rejab, sehingga menderhakai Tuhannya pada bulan Syaaban, telah datang kepadamu bulan puasa selepas kedua-duanya.


Janganlah jadikannya juga bulan kemaksiatan, kerana ia adalah bulan al-Quran dan bulan tasbih.


“Berapa ramai orang-orang terdahulu yang kamu kenal telah berpuasa di antara jiran tetangga dan sahabat handai?


“Mereka telah meninggal dunia sedangkan kamu masih hidup. Alangkah hampirnya masa mereka yang telah pergi dengan yang masih tinggal.


Ya Allah,berkatkanlah kami di bulan Ramadan ini, supaya kami dapat menunaikan ibadah puasa dan amalan soleh. Tetapkan pendirian kami di dalam ketaatan kepada-Mu sehingga kami menemui-Mu. Hindarkan kami dari sebarang maksiat. Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Menyahut doa-doa kami”.


Sumber



p/s: Selamat menyambut ramadan al kareem..

Read more: perantaudiary | life is journey

No comments:

Post a Comment