
politic: picture by http://famouswhendead.deviantart.com
Ini mungkin hanya luahan yang tidak berfakta dan tidak ada unsur ilmiah. Hanya luahan beremosi pemerhati politik kampus yang kuat berangan!
Menjejakkan kaki ke menara gading, saya pernah membayangkan Pilihan Raya Kampus (PRK) yang meriah, bermimpi tokoh-tokoh mahasiswa berhujah dengan idealisme yang menggugah, melontarkan pandangan atau kritikan tanpa rasa takut dan goyah.
Pernah juga bermimpi hebatnya perayaan demokrasi kampus, memangkah kertas undi, mendengar pidato-pidato berpengaruh dan pastinya menikmati demokrasi kampus yang tidak dipengaruhi atau diperkuda oleh agen kerajaan mahupun daripada pihak pembangkang.
Malangnya, Saya terus hanyut bersama mimpi-mimpi tersebut.
PRK saya yang pertama, tiada pen dan kertas undi untuk dipangkah!
Usim merupakan kampus pertama dijadikan bahan kajian makmal untuk sistem e-voting. Dan terus berjangkit kepada beberapa kampus yang lain. Entah apa rasionalnya penggunaan sistem ini saya kurang arif.
PRK seperti jugalah hari-hari biasa, tidak ada apa yang luar biasa dan istimewa tentang hari penamaan calon, malam pengenalan calon, dan sehinggalah berlarutan ke hari pembuangan undi. Seperti hari-hari kuliah yang biasa.
Bawa kad matrik dan hanya perlu klik kepada gambar yang anda berkenan. Akhlak, manifesto, agenda, idealisme, dan karisma sebagai pemimpin menurut saya tidak dapat dinilai dengan sekeping gambar ataupun selama tiga puluh minit pengucapan awam semasa malam pengenalan calon. Ah, pilihan raya apa seperti ini?
Ini bukan pemilihan pengawas sekolah!
Saya tidak mengharapkan tertubuhnya parti Pro kerajaan mahupun Pro pembangkang di kampus ini, cukup sekadar pulangkan kembali mimpi-mimpi saya tentang kemeriahan pilihan raya kampus. Dan jika sekalipun wujud politik kepartian di kampus ini saya kira lebih baik, sekurang-kurangnya wujud suasana demokrasi yang sihat di kampus ini.
Betul, mungkin ada yang berpendapat bahawa dengan wujudnya politik kepartian di kampus ini mahasiswa akan terpengaruh dengan politik kepartian di luar kampus dan sekaligus mempengaruhi pemikiran mereka. Namun harus diingat, kecenderungan menyokong atau membangkang pendirian parti tertentu dalam sesuatu isu adalah perkara lumrah dan fitrah bagi golongan yang berfikir samada isu tersebut bertepatan ataupun bertentangan dengan agenda perjuangan mereka.
Bukan perkara ini yang patut dirungsingkan oleh pihak pentadbiran universiti malahan perkara inilah yang harus digalakkan kerana membuktikan mahasiswa mengambil cakna dan merespon isu semasa. Sepatutnya yang menjadi kerisauan adalah budaya 'aku tidak pedulisme' di kalangan mahasiswa, atau lebih tepat budaya 'tiga K', kuliah, kafe, dan katil.
Menurut saya pihak pentadbiran tidak perlu takut kepada bayang-bayang sendiri, biar anak-anak muda ini dengan idealisme mereka. Bersetuju tidak beerti menyokong, dan membangkang tidak pula bermakna membenci.
Itulah sepatutnya, mahasiswa menjadi check and balances kepada kedua belah pihak.
Saya mengharapkan perubahan dalam sistem PRK usim, dan paling penting kembalikan mimpi-mimpi saya!
p/s: Hanya luahan beremosi, selamat mengundi!
